Online Diary .: Bagaimana untuk menghafal dengan mudah
hye ladies n gantleman welcome to my page , . dont forget to follow me.. =)

Monday, February 18, 2013

Bagaimana untuk menghafal dengan mudah


Alangkah bagusnya jika memori bertindak melalui proses osmosis – hanya perlu meletakkan buku di bawah bantal semalaman dan kesemua perkataan akan meresap masuk ke dalam otak dan sekaligus keseluruhan buku sudah dihafal! Malangnya, realiti tetap realiti kerana proses hafalan tidak berfungsi sedemikian rupa. Terdapat beberapa cara yang efektif untuk menghafal dengan teknik yang mudah.
Terdapat beberapa cara mudah yang sangat membantu dan lazimnya digunakan untuk menghafal perkara yang berlainan dalam satu masa. Antara cara yang digunakan untuk menghafal adalah seperti berikut :

  • Tulis perkataan yang perlu dihafal diatas sehelai kertas atau kad imbasan.
  • Serlahkan kata kunci yang mesti diingati.
  • Duduk di dalam bilik yang senyap (tanpa gangguan kanak-kanak, isteri atau suami, telefon bimbit, computer, pemain MP3 – tempat seperti ini mungkin hanya ada di Pergunungan Himalaya atau pulau terpencil namun percayalah tempat seperti ini sebenarnya ada) dan cuba untuk memulakan proses menghafal.
  • Sebut setiap perkataan dengan kuat sambil membaca.
  • Tutup mata dan ulangi setiap perkataan tersebut.
  • Teruskan membaca setiap perkataan kemudian pejamkan mata dan ulangi perkataan tersebut sehingga tidak perlu lagi untuk merujuk kertas atau kad imbasan tersebut.
Selain itu satu lagi cara yang sangat mudah untuk menghafal beberapa jenis barangan adalah dengan mencipta akronim. Cuba suaikan senarai barangan dengan akronim adalah cara yang berkesan untuk mengingat. Sebagai contoh, satu senarai barangan runcit mengandungi marjerin, epal, jagung dan asparagus. Ambil huruf pertama bagi setiap perkataan dan ianya akan membentuk perkataan baru iaitu MEJA. Senarai barangan tersebut dapat dihafal dengan mudah  dengan hanya mengingat perkataan “MEJA” semasa mahu membelinya di kedai runcit. (Mereka yang tidak peka dengan senarai barangan tersebut mungkin pulang ke rumah dengan membawa minyak masak, emping, jeli dan agar-agar – tapi ianya tetap makanan walaupun tiada di dalam senarai asal!)
Satu lagi teknik hafalan yang boleh digunakan ialah melalui gambaran yakni menukarkan segala maklumat ke dalam bentuk gambar. Sebagai contoh, jika anda ingin menghafal 12 daerah yang terdapat di negeri Kedah, cuba anda gambarkan suasana di sebuah taman permainan. Terdapat satu pasangan anak muda (Kuala Muda) yang membawa anak kecil mereka bermain di taman tersebut. Anak kecil tersebut ingin membaling (Baling) bola kepada ayahnya namun bola itu terkena pasu (Kubang Pasu). Kemudiannya bola tersebut bergolek ke padang (Padang Terap) permainan bersebelahan dan mengenai kasut jenama North Star (Alor Star) seorang budak lelaki yang sedang bermain bola bersama rakannya yang lain. Budak lelaki yang bernama Rayyan (Yan) itu kemudian mengambil bola tersebut dan memberikannya kepada ayah kanak-kanak itu. Ayah kanak-kanak itu kemudian membawa anaknya untuk berehat di tepi padang permainan sambil menikmati keindahan bendang (Pendang) bersebelahan taman permainan itu. Beberapa ekor burung helang (Langkawi) kelihatan berterbangan menuju kearah bandar (Bandar Baharu). Nun jauh di seberang padang tersebut kelihatan sebuah pohon belimbing (Kulim) tumbuh subur. Deretan pohon sena (Pokok Sena) di tepi jalan utama menuju ke sebuah tasik (Sik) pula sungguh menenangkan. Ternyata melalui imaginasi gambaran ini memudahkan kita untuk mengingati kesemua daerah yang ada di negeri Kedah dengan mudah.
Mencipta lagu menggunakan perkataan yang ingin dihafal pula merupakan salah satu teknik yang boleh digunapakai untuk menghafal apa jua perkataan. Adakah anda masih ingat akan lagu “A, B, C, D, E, F, G” semasa pertama kali mempelajari huruf? Kanak-kanak telah mempelajari lagu ini sejak berabad-abad lamanya untuk menghafal huruf di sekolah. Apa yang menariknya, nyanyian lagu ini juga boleh digunaka untuk menghafal nombor telefon. Tugas untuk menghafal akan menjadi lebih mudah sekiranya lagu yang digunakan biasa didengari mahupun kelakar. Semakin kelakar sesebuah lagu itu, lebih mudah untuk kita mengingati setiap perkataannya.
Di samping itu, satu teknik hafalan yang dipelajari oleh kanak-kanak di sekolah untuk mengingati satu perkataan yang panjang ialah dengan membina ayat menggunakan perkataan tersebut. Mari kita mengambil contoh perkataan “hipotesis” dan membuat satu ayat berdasarkan perkataan tersebut. Misalnya, “Hari Isnin Pakcik Omar Tukar Enjin Satria Ibu Saya”. Ayat seperti ini mencipta satu gambaran yang memudahkan kita untuk menghafal ejaan perkataan tersebut dan ianya pasti dapat diingat dalam satu tempoh masa yang lama.
Terdapat pelbagai teknik digunakan dis seluruh dunia dalam membantu kita untuk menghafal sesuatu perkara. Setiap orang mempunyai teknik hafalan yang berbeza memandangkan ada di antara kita yang lebih cenderung kepada teknik visual dan ada pula yang lebih selesa dengan teknik auditori. Mereka yang lebih kepada pembelajaran kinestetik pula cenderung untuk menggunakan kombinasi kedua-dua teknik visual dan auditori ini. Otak kita berfungsi dengan cara yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain dan latihan berterusan diperlukan bagi mengenalpasti teknik hafalan yang sesuai dengan diri kita.

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by zamriatunnisa